Kerajaan Sabah Tamat Kontrak Enam Syarikat Kendali Loji Rawatan Air

KOTA KINABALU, 21 Dis – Kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak enam syarikat yang mengendalikan sebanyak 58 Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh Sabah berkuatkuasa 15 Jan 2019.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata keputusan itu diambil disebabkan kerajaan tidak mampu menampung kos yang dibayar kepada kesemua syarikat berkenaan kerana ia terlalu tinggi.

“Dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kekangan kewangan daripada kerajaan, kita telah membuat keputusan menamatkan semua kontrak Perkhidmatan Pengurusan LRA di bawah kontrak “Outsource” berkenaan dan semua tanggungjawab mengoperasikan serta menyelenggara loji-loji berkenaan diambil alih oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

“Enam syarikat terlibat ialah Arawira Sdn Bhd, Yuda Water Sdn Bhd, Akal Kukuh Sdn Bhd, Sahabat Megajuta Sdn Bhd, Harmony Water Sdn Bhd, dan syarikat BYT Vision Sdn Bhd,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dengan penamatan kontrak berkenaan, kerajaan negeri boleh menjimatkan lebih RM1 bilion kerana kerajaan perlu membayar RM15 juta sebulan dalam tempoh 20 tahun berdasarkan perjanjian dimeterai kerajaan terdahulu.

Beliau berkata kerajaan sebelum ini terpaksa membayar RM15 juta sebulan kepada kesemua kontraktor berkenaan dan ia belum termasuk bayaran alat ganti untuk loji yang turut ditanggung kerajaan menyebabkan jumlah kos ditanggung untuk 58 loji rawatan air di seluruh negeri sangat tinggi.

Peter berkata susulan penamatan kontrak syarikat berkenaan JANS akan menyerap kesemua pekerja yang bekerja dengan syarikat itu sebelum ini dan ia melibatkan 1,335 pekerja di kesemua 58 loji berkenaan.

“Berdasarkan perkiraaan yang dilakukan, walapun JANS menyerap masuk kesemua pekerja, namun kerajaan hanya memerlukan kira-kira RM3 atau RM4 juta sebulan untuk mengajikan mereka dan ia jauh lebih rendah daripada RM15 juta yang dibayar kepada syarikat berkenaan sebelum ini,” tambahnya.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat 83 LRA di Sabah dengan 14 LRA dikendalikan oleh syarikat konsesi bekalan air, 11 LRA dikendalikan oleh JANS dan 58 lagi dikendalikan oleh enam syarikat berkenaan.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *