Treler masuk parit, pemandu terselamat

LAHAD DATU: Walaupun treler dipandu terhumban ke dalam parit sedalam kira-kira 10 meter, seorang pemandu terselamat dan sempat keluar sendiri sejurus kemalangan di Kilometer 22, Jalan Lahad Datu-Tawau, di sini, semalam.

SEORANG pemandu terselamat dan sempat keluar sendiri apabila lori treler yang dipandunya terhumban ke dalam jurang di Kilometer 22, Jalan Lahad Datu – Tawau. – ihsan pembaca

Dalam nahas kira-kira jam 9 pagi itu, kepala treler terbabit remuk teruk manakala pemandu lelaki berusia 53 tahun dilaporkan retak tulang belakang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata ketika kejadian treler berkenaan dalam perjalanan dari Tawau ke Lahad Datu.

“Setiba di tempat kejadian ketika menuruni bukit dalam cuaca hujan, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan terjunam ke dalam parit.

“Pemandu keluar sendiri dari treler sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Berita Harian

209