Lelaki Maut, Tercampak Daripada Lori

Keadaan mangsa yang tercampak dari lori berkenaan. Gambar SNT/Ehsan Polis

PAPAR: Seorang lelaki maut dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di kilometer 26 Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintenden Batholomew Ak Umpit berkata kemalangan tersebut berlaku berhampiran Kampung Kawang Kinarut.

“Mangsa berumur sekitar 30-an yang menaiki sebuah lori dipandu oleh rakan sekerja dari arah Papar menghala ke Kampung Mook Kinarut dengan melalui lebuh raya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan.

“Kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu oleh rakan mangsa dipercayai memandu dengan laju dan menyebabkan hilang kawalan.

“Lalu lori berkenaan terbabas ke tepi kiri jalan dan terbalik hingga menyebabkan mangsa (si mati) tercampak keluar daripada lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Jelasnya, akibat kemalangan itu, mangsa yang juga penumpang lori tersebut telah mengalami kecederaan parah di kepala serta anggota badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, menurutnya pemandu lori tersebut hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke hospital Papar untuk tujuan bedah siasat.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu dan merbahaya hingga menyebabkan kemalangan,” jelasnya. -SabahNewsToday

300