Kebajikan Warga Emas Dijamin – Christina Liew

TAWAU: Kerajaan tidak akan mengabaikan kebajikan warga emas yang menghuni di Rumah Orang Tua Hot Spring, di sini.

Christina (tengah) bersama para tetamu lain menyampaikan lagu-lagu Krismas.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata kerajaan negeri sememangnya mengiktiraf sumbangan warga emas yang telah menyumbang kepada pembangunan negara secara langsung dan tidak langsung.

“Walaupun sudah berusia, warga emas tetap dianggap sebagai sahabat dan tidak akan dilupakan,” katanya semasa mengadakan lawatan ke Rumah Orang Tua Hot Spring di sini.

Lawatan Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar ternyata menceriakan seramai 38 penghuni rumah berkenaan dengan bersama-sama kakitangan Majlis Perbandaran Tawau menyampaikan lagu-lagu Krismas (carolling).

Bagi menghargai warga emas di situ, beliau turut menyampaikan hamper kepada mereka sempena sambutan Krismas.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tawau tersebut memberi jaminan bahawa dia akan mengkaji keperluan penduduk yang semakin lanjut usia bagi diberikan bantuan.

“Fung Thin Yein adalah Ketua Pegawai Perhubungan bagi Parlimen Tawau, yang mewakili saya di Tawau dan akan berkomunikasi dengan saya mengenai sebarang keperluan yang perlu dipertimbangkan,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *