Bayi lima bulan antara 11 cedera nahas di Lung Manis, Beluran


BELURAN: Seramai 11 individu termasuk seorang bayi lelaki berusia lima bulan cedera ringan akibat kemalangan jalan raya yang membabitkan tiga kenderaan di kawasan Lung Manis, Jalan Beluran – Telupid, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan tujuh perempuan berusia antara lima bulan hingga 45 tahun.

Difahamkan, kejadian membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dari arah Telupid menuju ke Beluran, manakala sebuah lagi ialah kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Vigo dari arah bertentangan.

Anggota bomba menyelamatkan mangsa selepas terlibat dalam satu kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan, di Jalan long Manis Beluran-Telupid. – Foto ihsan Bomba

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi, berkata beliau bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.18 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi itu, didapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan. Difahamkan, kereta jenis Honda CRV dipercayai memperlahankan kenderaan secara tiba-tiba bagi mengelak lubang. Toyota Avanza yang berada di belakang kenderaan itu kemudian terlanggar bahagian belakang.

“Sebuah pacuan empat roda pula yang datang dari arah bertentangan terpaksa mengelak Toyota Avanza itu lalu terbabas ke tepi kiri jalan raya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Rastam berkata, semua mangsa keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pihaknya dan semuanya hanya mengalami kecederaan ringan. – Berita Harian

203