Letak papan tanda etika di premis, kawasan tumpuan pelancong

SEMPORNA, 15 Dis – Pihak berwajib dan peniaga di bawah agensi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah disaran meletakkan papan tanda atau peraturan berkaitan etika, di premis atau kawasan tumpuan pelancong sebagai memperingatkan pengunjung menjaga adab dan tata-tertib.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata perkara itu bagi mengingatkan  pelancong dari melakukan aksi yang bertentangan dengan nilai masyarakat setempat atau  undang-undang negeri dan amnya Malaysia. 

“Sebelum ini, ada kes foto pelancong buka baju (bogel) di puncak Gunung Kinabalu, dan aksi pelancong menari di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

“Kita tidak mahu perkara sedemikian berlaku berulang kali… sekiranya tiada pendekatan diambil  atau  usaha untuk mengingatkan pelancong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan Maulidur Rasul peringkat daerah di sini, hari ini.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri turut mengulas sebuah video tular berdurasi 37 saat memaparkan aksi ghairah seorang wanita menari sambil menuang minuman memabukkan ke badannya di sebuah premis di Semporna baru-baru ini.

Sementara itu, Pesurujaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Peter Umbuas agar menyiasat perkara berkenaan.

Katanya, sekiranya terbukti ada pihak yang menaja atau mempromosi aksi tidak senonoh itu, akan  dikenakan tindakan sewajarnya.

“Jika terbukti, saya juga akan mencadangkan kepada Majlis Daerah untuk mengkaji lesen perniagaan premis terlibat untuk tindakan lanjut,” katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *