Lelaki ada dua kes dadah, ditangkap lagi

LAHAD DATU: Walaupun pernah dua kali ditangkap berhubung kes dadah, seorang lelaki sekali lagi ditahan dalam kebun sawit Kampung Telisai, dekat sini, semalam.

POLIS menahan suspek dalam operasi Op Tapis di kebun sawit Kampung Telisai, Lahad Datu, semalam. – Foto ihsan polis

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata lelaki tempatan berusia 32 tahun itu ditahan dalam operasi Op Tapis, kira-kira jam 2 petang.

“Anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Lahad Datu memeriksa lelaki itu kerana berada dalam keadaan mencurigakan. Suspek bertindak agresif apabila pemeriksaan badan dijalankan namun dapat ditangani.

“Pemeriksaan lanjut, kami menemui satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah syabu dan satu paket lagi berisi 20 gulung timah dalam poket seluar suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, dadah berkenaan dianggarkan seberat 5.2 gram.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut. Siasatan lanjut mendapati, suspek pernah ditangkap dua kali pada tahun 2015 dan 2016 kerana kesalahan dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Berita Harian

152