Wanita warga tua gembira sambut ulang tahun ke-100

PAPAR: Seorang warga tua, Kabun Kansiew, 99, yang bakal meraikan ulang tahunnya ke-100, minggu depan, diraikan lebih awal di Rumah Warga Tua Sri Pritchard di sini.

RAHIMAH (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Kabun (lima dari kanan) sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-100 di Papar.

Beliau yang juga penghuni tertua Rumah Warga Tua Sri Pritchard itu bakal berusia 100 tahun pada 17 Disember ini.

Disambut dalam suasana sederhana, Kabun yang berasal dari Kampung Menawo, Keningau, hanya duduk di atas kerusi roda selain sukar bercakap disebabkan faktor usia.

Bagaimanapun, ditanya mengenai majlis itu, Kabun hanya memberikan senyuman dan menganggukkan kepala sebagai isyarat tanda gembira.

Menurut rekod, Kabun sebelum ini menetap di rumah jirannya sejak 1989 selepas rumah didiami rosak sebelum beliau dipindahkan ke Rumah Warga Tua Sri Pritchard pada penghujung 2006 ketika berusia 88 tahun.

Penolong Penguasa Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Judy George berkata Kabun adalah penghuni tertua di rumah kebajikan berkenaan.

“Kita tidak mempunyai banyak maklumat berkaitan beliau dan semua informasi yang diperolehi hanya menerusi kad pengenalan diri serta menerusi jiran di kampung tempat beliau menetap sebelum ini.

“Kami difahamkan beliau adalah seorang balu tetapi tidak dikurniakan cahaya mata selain tiada adik-beradik,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Datin Rahimah Ahmad Quadra berkata sambutan ulang tahun itu turut dianjurkan sempena Hari Krismas tahun ini.

Beliau berkata program diadakan itu secara tidak langsung dapat memberikan kegembiraan kepada semua penghuni rumah berkenaan. – Berita Harian


84