Perintah berkurung di ESSZone dilanjutkan hingga 27 Dis

KOTA KINABALU, 11 Dis – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dilanjutkan sehingga 27 Dis berkuat kuasa hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan serta Beluran.

“Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Omar berkata perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak dicerobohi oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

Beliau berkata perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat yang berada di kawasan daratan ESSZone.

Perintah berkurung tersebut akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada  pengusaha calet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan, katanya.

Omar berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *