Penagih Sembunyi Bawah Kandang Ayam Antara 6 Ditahan AADK Keningau

KENINGAU: Enam individu dipercayai penagih dadah berjaya diberkas dalam satu Ops Cegah Agensi Antidadah Kebangsaan Keningau (AADK) Keningau pada malam Isnin.

AADK Keningau berjaya menangkap suspek yang menyorokkan diri di dalam almari pakaian.Gambar Ehsan AADK

Ketua Pegawai AADK Keningau Azry Golbin @ Azmi berkata operasi yang dijalankan sekitar dua jam itu berjaya menahan keenam-enam suspek lelaki berkenaan di tiga lokasi perkampungan sekitar daerah ini.

“Sepanjang Operasi dijalankan terdapat beberapa suspek yang cuba melarikan diri, menyembunyikan diri dan melakukan provokasi terhadap anggota AADK yang bertugas telah ditahan di kediaman masing-masing setelah pihak penguatkuasa mengepung di lokasi sasaran yang terlibat.

Gambar Ehsan AADK Keningau

“Setelah menyedari kehadiran skuad serbuan AADK, terdapat tiga suspek yang bertindak liar dengan cuba melarikan diri dan menyembunyikan diri di beberapa lokasi termasuk di dalam almari pakaian.

“Salah seorang suspek bertindak menyembunyikan diri di bawah kandang ayam, namun berjaya diberkas oleh AADK setelah memeriksa seluruh kawasan rumah suspek-suspek berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Selasa.

Menurutnya cubaan seorang suspek yang berumur 39 tahun cuba melarikan diri sehingga 400 meter di kawasan hutan belakang rumah, gagal selepas dikejar oleh pihak berkuasa.

Hasil siasatan awal, Azry menyatakan bahawa salah seorang suspek yang ditahan turut mempunyai kesalahan jenayah berkaitan dadah sebelum ini.


Tambahnya kesemua suspek yang berumur lingkungan 27 hingga 39 tahun berkenaan ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983 Pindaan 1998 kerana disyaki sebagai penagih dadah.

Dalam pada itu, seorang penagih dadah bukan warganegara akan dirujuk dan diserahkan kepada pihak narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan lanjut.

“Orang awam boleh membuat aduan jika mendapati sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah dengan menghubungi Pihak AADK ditalian 087-339886 untuk tindakan lanjut,” katanya. -SabahNewsToday


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *