Pesara Kerajaan Diutamakan Bagi Jawatan Ketua Kampung

Aidi (depan tengah) dan Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai (depan lima kanan) serta Jannie Lasimbang (depan empat kiri) merakamkan gambar kenangan bersama peserta-peserta Kursus Kepimpinan Anak Negeri bagi Ketua Kampung Siri Satu 2018. Gambar SNT/Alfred Petrus

PENAMPANG: Salah satu penambahbaikan bagi jawatan Ketua Kampung adalah keutamaan diberikan kepada pesara-pesara kerajaan.

Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar berkata ia adalah bagi mempertingkatkan keterampilan penugasan dan pengurusan diperingkat kampung.

“Walaupun dia adalah pesara berjawatan kerani, sekurang-kurangnya urusan pentadbiran, surat menyurat kepada Pejabat Daerah dan mereka tidak menghadapi masalah.

“Selain itu, soal-soal pentadbiran kepada Pejabat Daerah itu lebih mudah menguruskan kerana mereka mempunyai pengalaman sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Kursus Kepimpinan Anak Negeri bagi Ketua Kampung Siri Satu 2018 di sini hari ini.

Aidi (dua kiri) memalu gong sebagai gimik perasmian Kursus Kepimpinan Anak Negeri bagi Ketua Kampung Siri Satu 2018. Gambar SNT/Alfred Petrus

Namun Aidi berkata pihaknya juga mengambil kira individu-individu yang berpengalaman dan tahu mengenai adat istiadat kampung bagi mengisi jawatan Ketua Kampung.

Sementara itu, beliau menegaskan perkara-perkara seperti penyelahgunaan kuasa perlu dielakkan bagi melahirkan Ketua Kampung yang berintegriti tinggi dalam bidang tugas yang diamanahkan.

“Aktiviti-aktiviti seperti meminta imbuhan atau bayaran ke atas komuniti perlu dielakan.

“Ini kerana, Ketua Kampung mempunyai peranan penting dalam menjaga keharmonian dalam komuniti.

“Komuniti memandang tinggi terhadap Ketua Kampung. Justeru, Ketua Kampung perlu memelihara integriti dan menjaga komuniti dengan baik,” jelasnya.

Tambahnya banyak cabaran besar akan dihadapi oleh Ketua-ketua Kampung berhubung dengan komuniti.

“Antaranya adalah komuniti yang kurang menghormati tatacara adat tradisi.

“Begitu juga dalam permasalahan urusan tanah dengan keluarga yang ramai dalam menuntut waris, masalah keadaan tanah, perkahwinan anak bawah umur dan banyak lagi cabaran yang akan dipikul oleh Ketua Kampung,” katanya. -SabahNewsToday