Kanak-kanak, warga emas antara pati ditahan APMM Tawau

TAWAU, 4 Dis – Cubaan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina menyusup keluar menggunakan pam bot di perairan Kinabutan di sini untuk ke negara asal, gagal selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), malam tadi.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) APMM Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata dalam kejadian 7.30 malam itu kanak-kanak lelaki berusia sembilan bulan serta seorang warga emas lelaki berusia 71 tahun antara ditahan, termasuk juragan bot.

“Kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan muatan berupa 37 tong minyak petrol, 10 tong gas memasak serta 20 karung baja urea,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya setakat Januari hingga awal Disember tahun ini, APMM Tawau menggagalkan 22 kes di bawah Akta Imigresen 1959/63 dengan 210 lelaki termasuk 21 wanita ditangkap.

Mohd Yusri berkata pihaknya akan terus meningkatkan lagi rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras di perairan Malaysia khususnya Tawau.

Beliau berkata masyarakat boleh membantu APMM Tawau dengan menyalurkan aduan dan maklumat melalui talian hotline 089-752115 atau melalui MERS 999.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *