Kedudukan kewangan Sabah pada 2017 adalah baik

KOTA KINABALU, 3 Dis – Kedudukan kewangan kerajaan negeri Sabah pada tahun 2017 adalah baik, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, yang dikeluarkan hari ini.

Menurut laporan berkenaan, Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri mencatatkan peningkatan sejumlah RM390.64 juta atau 16.2 peratus kepada RM2.80 bilion pada tahun 2017 berbanding RM2.41 bilion pada tahun 2016.

Laporan tersebut menyebut bahawa Akaun Hasil Disatukan negeri Sabah mencatatkan surplus berjumlah RM56.66 juta pada tahun 2017 menjadikan baki terkumpul meningkat kepada RM3.80 bilion atau 1.5 peratus.

“Kutipan hasil juga telah meningkat sejumlah RM444.44 juta atau 12.9 peratus kepada RM3.89 bilion pada tahun 2017,” kata laporan audit berkenaan.

Menurut laporan itu, perbelanjaan mengurus telah meningkat sejumlah RM454.36 juta atau 13.5 peratus  kepada RM3.83 bilion pada tahun 2017.

Pelaburan dalam bentuk simpanan tetap dan deposit negeri Sabah berjumlah RM2.51 bilion, manakala pelaburan di Perbadanan Awam dan Badan Berkanun pada akhir tahun 2017 berjumlah RM6.58 bilion, kata laporan itu.

“Kedua-dua pelaburan tersebut telah memberi pulangan dalam bentuk faedah dan dividen masing-masing berjumlah RM112.67 juta dan RM140.43 juta. Tunggakan bayaran balik Pinjaman Boleh Dituntut telah menurun kepada RM802.32 juta.

“Tunggakan bayaran balik Hutang Awam juga telah menurun kepada RM29.60 juta. Tunggakan hasil telah meningkat sejumlah RM41.10 juta kepada RM534.89 juta pada tahun 2017,” menurut laporan itu.

Laporan audit itu juga menyebut bahawa di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) sebanyak 7,270 projek telah dirancang termasuk projek khas/kecil Jabatan Ketua Menteri untuk dilaksanakan oleh 11 Kementerian/Jabatan.

Menurut laporan audit berkenaan, prestasi pencapaian pelaksanaan projek di bawah RMK11 adalah baik dengan 6,525 projek atau 89.7 peratus  telah siap dilaksanakan, sebanyak 587 projek atau 8.1 peratus (sedang dilaksanakan) dan 158 projek atau 2.2 peratus (belum bermula).

“Pencapaian prestasi perbelanjaan pada tahun 2017 adalah RM997.54 juta atau 78.2 peratus  daripada peruntukan semasa yang diluluskan oleh kerajaan negeri,” kata laporan berkenaan.

– BERNAMA