Kerajaan negeri mahu tarik pelabur semenanjung buka kilang perabot di Sabah – Shafie

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah berhasrat menarik lebih ramai pengusaha perabot dari Semenanjung untuk melabur dan membuka cawangan di negeri ini dengan mengambil langkah mengadakan pertemuan sendiri bersama penggiat industri tersebut.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha itu menunjukkan komitmen penuh kerajaan negeri untuk memperkasa pembangunan sektor kayu-kayan negeri sekali gus merealisasikan sasaran menjadikan Sabah sebagai negeri perindustrian.

“Esok (Isnin) saya akan bertemu dengan beberapa pengusaha kilang perabot di Semenanjung, dan kita (kerajaan negeri) akan memastikan untuk menarik pengusaha kilang berabot berpengalaman membuka cawangan mereka di Sabah.

“Ini bagi membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan untuk anak-anak Sabah khususnya dalam sektor industri hiliran kayu kayan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Sabah Job & Entreprenuer Fair 2018 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri akan memainkan peranan dalam membekalkan kayu untuk pembuatan perabot, namun, keutamaan bekalan kayu itu akan diberikan kepada mana-mana syarikat kilang perabot yang beroperasi di Sabah.

Beliau berkata ini bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha kilang perabot terutamanya dalam kalangan penggiat industri yang sudah mempunyai rangkaian kukuh serta pasaran selain pakar dalam menentukan kualiti perabot untuk beroperasi di sini.

“Beberapa kawasan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu telah dikenal pasti bagi membolehkan mereka (pengusaha kilang perabot) mewujudkan kilang perabot di sini,” katanya.

Sementara itu Program Sabah Job & Entreprenuer Fair 2018 selama dua hari yang bermula semalam adalah bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada belia di negeri ini mencari pekerjaan menerusi penyertaan kira-kira 100 syarikat dan usahawan tempatan.

Program anjuran Wira dan Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) itu merekodkan lebih 6,000 pencari pekerjaan berdaftar di Sabah Job Portal, dan daripada jumlah itu, seramai 2,117 orang membuat permohonan pekerjaan secara dalam talian dan seramai 565 daripadanya telah mendapat tawaran kerja.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *