PPM Tawau gagalkan cubaan seludup masuk ketam hidup tanpa lesen

Ketam yang dirampas. FOTO Ihsan PPM

TAWAU, 25 Nov –  Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau semalam menggagalkan cubaan dua lelaki tempatan menyeludup masuk 159 kotak polistirena berisi ketam hidup dari Indonesia bernilai RM41,340 untuk dijual di pasaran tempatan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata suspek berusia 38 dan 52 tahun itu ditahan di kawasan laut Batu 3 pada pukul 5.30 pagi.

“PPM Tawau bersama dua Pegawai Jabatan Perikanan Tawau yang menjalankan tugas operasi Inter Agensi di kawasan tersebut telah menahan dan memeriksa dua jongkong yang masing-masing membawa kotak berisi ketam hidup, tanpa lesen dan surat kelulusan daripada Jabatan Perikanan Tawau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, Pajeri berkata operasi Inter Agensi itu turut berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an bersama 400 kilogram ikan bernilai RM5,200, disyaki hasil daripada aktiviti mengebom ikan.

Menurutnya, semua tangkapan dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh Jabatan Perikanan.

– BERNAMA

Ketam yang dirampas. FOTO Ihsan PPM
194