Ops Cegah Jenayah IPD KK tahan 15 individu

Anggota polis berjaya menahan seramai 15 individu kerana disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan menerusi Operasi Cegah Jenayah di tujuh lokasi sekitar Kota Kinabalu. – Foto ihsan Polis

KOTA KINABALU: Polis bandar raya ini menahan 15 individu kerana disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan menerusi Operasi Cegah Jenayah di tujuh lokasi sekitar ibu negeri.

Operasi mulai jam 8 malam kelmarin hingga 4 pagi tadi dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata hasil operasi itu, pihaknya menahan sembilan individu disyaki terbabit dalam jenayah, dua pendatang asing tanpa izin (PATI) serta empat individu positif dadah.

“Tumpuan lokasi operasi adalah kawasan bandar raya yang mana berlaku peningkatan PATI hingga mengundang kepada kegiatan jenayah di daerah ini.

“Semua yang ditahan berusia 17 hingga 48 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Habibi berkata, Operasi Cegah Jenayah ini akan dilakukan secara berterusan dalam usaha membendung PATI, membanteras jenayah dan dadah serta gejala sosial di bandar raya dan daerah ini.

“Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada balai polis berhampiran atau melalui media sosial seperti Facebook Polis Kota Kinabalu,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *