Pensyarah cerita detik cemas nahas bas

TRAGEDI kemalangan jalan raya yang mengorbankan lima mangsa di Kota Marudu, semalam. – Foto ihsan polis

Kota Marudu: “Saya nampak ramai penumpang terbaring dengan ada yang berlumuran darah, selain jeritan meminta tolong bersahutan di lokasi kemalangan.”

Begitulah situasi tragis selepas nahas bas membawa rombongan staf dan ahli keluarga warga Politeknik Sandakan di Jalan Marak Parak, di sini, petang semalam, diceritakan Jowina Dowinsing, 35, ketika ditemui di Hospital Kota Marudu, hari ini.

Nahas jam 4.30 petang itu mengakibatkan lima maut termasuk tiga pensyarah Politeknik Sandakan, selain lelaki berusia 49 tahun serta bayi lelaki berumur dua tahun.

Menurut Jowina yang juga pensyarah perakaunan di Politeknik Sandakan, sebelum kejadian semua penumpang gembira dan teruja untuk menyertai program hari keluarga di Kudat, namun semua bertukar sekelip mata.

“Sebelum kemalangan saya tidur dan tiba-tiba terjaga akibat hentakan pada kepala dan badan apabila bas terbabas lalu merempuh penghadang kiri jalan.

“Dalam keadaan pening, saya cuma sedar apabila berada di luar bas dalam keadaan terbaring dan mendengar jeritan sahutan berbalas meminta pertolongan,” katanya yang duduk di bahagian tepi tingkap.

Jowina berkata, bumbung bas terkena penghadang jalan ketika terbabas sehingga sisi kenderaan terpotong di barisan tempat duduknya.

“Lokasi tempat kemalangan berhampiran gaung kira-kira 10 meter dan masing-masing sibuk mengeluarkan mangsa lain sementara menunggu pasukan menyelamat tiba,” katanya.

Dia bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu dan hanya mengalami luka kecil akibat serpihan cermin, manakala tulang belakang sakit dan mungkin tidak mampu berdiri dalam beberapa hari.

“Saya tidak menyangka saya diberi peluang untuk hidup walaupun duduk di bahagian berisiko dan masih mampu meneruskan kerjaya sebagai pensyarah,” katanya yang sebak selepas mendapat tahu nasib rakan-rakan lain termasuk lima mangsa yang maut selepas dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *