Tangkap Ikan Di Labuan: Bot nelayan Vietnam dan lapan kru ditahan – Marin

GAMBAR PPM LABUAN

LABUAN, 22 Nov  – Polis Marin Labuan menahan lapan nelayan Vietnam, termasuk juragan, dalam operasi ke atas bot nelayan asing yang menangkap ikan secara haram di perairan Labuan pada Rabu (21 Nov).

Komander Polis Marin Sabah  (Wilayah 4) ACP Mohamad Pajeri Ali berkata bot nelayan Vietnam itu dikesan di perairan Beting Iris kira-kira 7.75 batu nautika dari pantai Tanjung Kubong dalam Operasi Gelora Khas kira-kira 5.30 petang.

Mereka menahan nelayan berusia antara 23 hingga 59 tahun yang gagal menunjukkan lesen serta dokumen perjalanan yang sah, dan bot itu kemudiannya ditunda balik ke jeti marin Labuan.

“Kami merampas bot nelayan dianggarkan bernilai RM350,000 dan peralatan pukat berharga kira-kira RM10,000. Warga Vietnam itu akan diserahkan kepada pihak Imigresen untuk siasatan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Mohamad Pajeri berkata rampasan itu adalah sebahagian daripada operasi besar-besaran oleh polis Marin ke atas  pencerobohan dan/atau aktiviti menangkap ikan secara haram oleh nelayan asing.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

– BERNAMA

230