Curi Sarang Burung, Polis Tahan 10 Suspek

PAPAR: Polis berjaya memberkas 10 lelaki termasuk warga asing dalam tempoh kurang 24 jam selepas mendatangkan kecederaan terhadap seorang pengawal keselamatan dan melarikan sarang burung walit dari sebuah rumah burung walit berdekatan sebuah sekolah di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata kejadian berlaku apabila suspek bertindak memanjat pagar sekolah dan memasuki rumah burung walit itu kira-kira jam 3 pagi.

“Kejadian disedari pengawal keselamatan berkenaan dan segera bertindak memeriksa lokasi kejadian. Tidak lama kemudian itu, mangsa didatangi tiga lelaki bersenjata panah ikan, parang dan kerambit.

“Mangsa kemudiannya dipukul oleh suspek yang ketika itu bertopeng muka menggunakan batang besi sebelum mengikat tangan mangsa,” katanya pada sidang media di IPD Papar, pagi tadi.

Menurutnya mangsa berjaya melepaskan diri kira-kira sejam kemudian selepas kesemua suspek sudah meninggalkan lokasi kejadian dan membuat laporan polis.

Tambah Batholomew, bertindak dari laporan mangsa kesemua suspek terlibat berjaya ditahan sepasukan anggota Kontinjen Sabah dalam beberapa serbuan di Kota Kinabalu kurang 24 jam dari kejadian.

“Polis turut merampas kira-kira 500 gram sarang burung walet dan beberapa barangan milik suspek yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek terlibat dalam beberapa kes curi serta dua daripada suspek adalah positif dadah jenis syabu.

Suspek direman untuk disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya dengan tertangkapnya kesemua suspek ini pihaknya berjaya menyelesaikan enam kes curi dan siasatan lanjut masih diteruskan. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *