Angah sudah tiada… Al-fatihah

ANGAH meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU: Mohammad Fadizrul Azraain Billah Zulkifly, 23, atau Angah yang menghidap empat kanser iaitu hidung, hati, paru-paru dan selaput otak meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini.

Ibunya, Zaitun Salleh, 50, berkata Allahyarham yang juga anak keduanya menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga termasuk suaminya, Zulkifly Mohamed, 55, pada jam 8.08 pagi.

Katanya, tengah hari Khamis lalu Angah di bawa ke HSI untuk mengambil darah bagi memastikan keadaannya sihat ketika proses kemoterapi dilakukan.

“Bagaimanapun keadaannya lemah dan tidak sedarkan diri selepas kira-kira dua jam proses mengambil darah dilakukan.

“Sejak itu, Angah bergantung kepada alat bantuan pernafasan sehingga pagi ini,” katanya ketika dihubungi.

Zaitun berkata, Angah pada awalnya ada memberikan respon ketika tangannya dipegang.

“Satu hari dua ini pula dia tidak memberikan respon, selain nafasnya turun naik.

“Pagi ini tidak sangka Angah pergi meninggalkan kami sekeluarga selepas bekalan oksigen terus menurun dan disahkan meninggal dunia oleh doktor,” katanya.

Menurutnya, jenazah anaknya itu dimandikan di HSI, disembahyangkan di Masjid Seri Alam Baru sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai selepas Zuhur.

Kisah penderitaan Angah yang menghidap empat kanser itu pernah di kongsi pada 31 Oktober lalu.

Keceriaan wajah Angah berubah sepenuhnya apabila terpaksa menanggung kesakitan selepas disahkan menghidap penyakit berkenaan pada Mac tahun lalu.

Sejak dikesan menghidap kanser, Angah menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi dan badannya kini semakin lesu selain kehilangan lebih separuh berat badannya dari 70 kilogram (kg) kepada hanya 30 kg. – Berita Harian

252