SIPITANG: Kerajaan negeri mengenal pasti Kampung Long Pasia, sebuah perkampungan terpencil masyarakat Lundayeh di daerah ini sebagai tarikan pelancongan yang sangat berpotensi di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang pertama kali melawat kampung itu hari ini, mengakui sangat tertarik dengan keindahan persekitaran dan kekayaan alam semula jadi dimiliki Long Pasia.
“Keindahannya seperti di Switzerland, dengan udaranya yang segar dan kehijauan bukit. Saya harap masyarakat di sini akan terus menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang.
“Kampung ini ada faktor penarik pelancongan yang perlu dikembangkan dan didedahkan,” katanya ketika melancarkan projek Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) Sekolah Kebangsaan (SK) Long Pasia, di sini.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Mohd Shafie menekankan keperluan untuk membangunkan produk pelancongan untuk Long Pasia seperti inap desa, berakit dan menyusuri hutan.
“Kita mesti memastikan produk pelancongan dilengkapkan terlebih dahulu dan selepas itu kita boleh mengimbanginya dengan projek menaik taraf padang terbang supaya pesawat kecil boleh mendarat.
“Jalan raya batu kerikil dan berlumpur yang menghubungkan kampung ini sekarang tentu menyukarkan pelancong melawat Long Pasia kerana mengambil masa kira-kira tujuh jam dari Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan negeri akan melihat kemungkinan menghidupkan semula perkhidmatan udara menghubungkan Long Pasia dengan Kota Kinabalu yang pernah beroperasi antara 1970-an hingga 1990-an.
Terdahulu, Mohd Shafie menggalakkan penduduk Long Pasia supaya mengambil peluang membangunkan kawasan berkenaan dengan sokongan kerajaan negeri.
“Penduduk boleh mengusahakan ternakan lembu misalnya. Saya juga nampak potensi membangunkan industri buluh di Sipitang, khususnya di Long Pasia ini,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada cadangan untuk menaik taraf jalan raya menghubungkan Long Pasia dengan Mendulong, di sini dan akan memohon peruntukan Kerajaan Pusat. – Berita Harian