Kerajaan Luluskan RM350,000 Naiktaraf SK Long Pasia Dan Gereja

 

Mohd Shafie menandatangan plak perasmian SK Long Pasia hari ini.

SIPITANG: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sejumlah RM350,000 menaik taraf kemudahan gereja dan Sekolah Kebangsaan (SK) Long Pasia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata peruntukan tersebut melibatkan pembinaan pejabat pentadbiran dan kantin sekolah serta kawasan gereja di kampung Long Pasia.

“Hari ini, saya meluluskan peruntukan sejumlah RM300,000 untuk pembinaan pejabat pentadbiran dan kantin sekolah baru.

“Hal ini kerana, saya dimaklumkan pembinaan sekolah dengan kaedah Sistem Bangunan Berindustri (IBS) di bawah projek Sekolah Daif tidak mempunyai kedua-dua kemudahan ini.

Mohd Shafie bersama dengan Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob (kiri) meninjau kemudahan di SK Long Pasia. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Selain itu wakil Persatuan Wanita Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) memohon sumbangan ikhlas sejumlah RM50,000 untuk membaik pulih gereja dan saya luluskan peruntukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Bangunan dan Bilik Darjah Baru dengan kaedah IBS di bawah projek Sekolah Daif SK Long Pasia dan e-Desa Kampung Long Pasia sempena Lawatan Rasmi Ketua Menteri ke Long Pasia dan Meligan.

Mohd Shafie turut meluluskan projek projek pembinaan tandas sekolah dan bilik air dua buah asrama lelaki dan perempuan SK Long Pasia.

Katanya bagi permohonan-permohonan pembinaan dan naik taraf kemudahan lain di Long Pasia akan diteliti sebaik mungkin.

Beliau juga mahu kontraktor anak Long Pasia menjalankan projek-projek berkenaan bagi membantu meningkatkan pendapatan dengan tenaga kerja tempatan.

“Projek ini saya akan teliti sebaik mungkin kerana sekarang ini sudahpun hujung tahun dan Januari kita akan mulakan kerja.

“Kalau ada orang-orang kampung yang pandai buat kerja-kerja ini, kamu jalankan sendiri. Saya mahu bagi kontraktor Long Pasia yang pandai buat kerja dan saya tidak mahu orang luar yang mendapat projek ini kerana sudah sampai ketikanya kita bantu mereka.

“Kalau orang-orang tempatan tidak mampu laksanakannya, mungkin mereka boleh berkongsi dengan orang-orang Sipitang,” jelasnya.

Sementara itu, beliau juga akan membuat permohonan peruntukan sebanyak RM400 juta kepada Kerajaan Pusat untuk menaik taraf jalan dari Kampung Mendolong ke Long Pasia.

Sumber -SabahNewsToday

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *