Pura-pura banci sebelum samun

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek. – Foto Recqueal Raimi

SANDAKAN: Berpura-pura membuat banci pendaftaran sebelum menyamun seorang lelaki warga tua dan membawa lari RM1,500 dalam kejadian samun di sebuah rumah di Jalan Cecily, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 40 dan 50 tahun termasuk seorang yang masih dalam pengawasan parol itu berjaya ditangkap di Dataran Piazza, Jalan Pryer, di sini, jam 1.30 tengah hari semalam.

Ketika kejadian jam 5.30 petang kelmarin, kedua-dua suspek dikatakan pergi ke rumah mangsa dan menyamar untuk membuat bancian.

Mangsa berusia 67 tahun yang tinggal sendirian tidak mengesyaki apa-apa lalu membenarkan mereka masuk sebelum seorang suspek memaut leher mangsa, manakala seorang lagi menyelongkar bilik tidur dan melarikan diri menaiki sebuah kereta selepas mengambil wang tunai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek, berkata polis kemudian menahan sebuah PROTON Waja dinaiki suspek dan merampas 31 barangan termasuk wang tunai RM250, telefon bimbit, kad ATM, kad gadaian emas, peralatan pecah rumah serta mata wang Vietnam.

“Hasil semakan mendapati suspek berusia 40 tahun mempunyai lima rekod jenayah dan dalam tempoh pengawasan parol untuk kesalahan pada 2016 kerana mencuri.

“Kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, sebentar tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *