Tukang Cat Ditemui Mati Dalam Bilik Pekerja

SEKADAR GAMBAR HIASAN

LABUAN: Seorang tukang cat kereta ditemui mati dalam sebuah bilik di kuarters pekerja di Jalan Kinabenua, Kampung Sungai Keling, Labuan, pagi kelmarin.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superitendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani, mangsa dikenali sebagai, Arveen Jubin, 28, berasal dari Kampung Gumandang, Kudat ditemui dalam keadaan terbaring atas tilam sebuah bilik di rumah pekerja sebuah bengkel, di sini.

“Ketika pemeriksaan dijalankan di lokasi kejadian, si mati dipercayai telah meninggal dunia lebih dari 36 jam berdasarkan keadaan tubuh mangsa yang telah kembang dan berwarna biru.

“Terdapat kesan darah beku keluar dari hidung dan mulut di mati ketika ditemui. Dan pemeriksaan sekitar mendapati pada sisi mangsa terdapat sebuah telefon bimbit yang sedang bercas dan aktif,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd Ibrahim, tiada terdapat sebarang kesan pergelutan atau unsur-unsur perlakuan jenayah terhadap mangsa.

“Menurut rakan sekerja si mati, kali terakhir mangsa dilihat pada Ahad lepas. Dan mangsa telah bekerja di bengkel terbabit lebih kurang setahun,” katanya.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak forensik Hospital Nukleus WP Labuan bagi tujuan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -SabahNewsToday

514