Pertimbang semula pembinaan hospital dan Klinik Kesihatan di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, 12 Nov  — Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mahu cadangan untuk membina dan menaik taraf hospital dan Klinik Kesihatan di beberapa daerah di Sabah yang ditangguhkan sebelum ini akan dipertimbangkan semula pembinaannya.

Datuk Abidin Madingkir (UPKO-Paginatan) berkata beberapa hospital dan Klinik Kesihatan khususnya di luar bandar termasuk di daerah Ranau menghadapi kesesakan kerana pertambahan penduduk  selain tidak mempunyai ruang pengasingan untuk pesakit yang menghidapi penyakit berjangkit seperti Tibi.

“Saya menyeru agar Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat dapat membawa perkara ini untuk diberi perhatian oleh Kerajaan Pusat mengenai keadaan prasarana dan fasiliti hospital dan klinik di Sabah,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2019 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata kerajaan dahulu telah membuat perancangan itu namun telah ditangguhkan akibat kekangan masalah kewangan yang dihadapi oleh negara pada ketika ini.

Sementara itu ADUN Lumadan Matbali Musah (UMNO-Lumadan) berharap peruntukan kepada Jabatan Air Negeri Sabah dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat lalu iaitu sebanyak RM636.69 juta akan dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih di kawasan Lumadan sejak sekian lama.

Beliau berharap di bawah pemerintahan kerajaan baharu ini akan dapat mengambil langkah yang terbaik untuk menangani masalah yang dihadapi di kawasan tersebut.

“Isu air sudah sinonim dengan kawasan Lumadan sejak sekian lama walaupun pelbagai usaha dan pendekatan dilaksanakan namun ia masih berlarutan sehingga ke hari ini,” katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *