Perlu kajian semula kontraktor pembersihan di majlis daerah – Mohd Shafie

SEMPORNA, 11 Nov – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu kajian semula dilakukan terhadap kontraktor pembersihan di semua majlis daerah di negeri ini yang dilantik kerajaan terdahulu.

Menurut beliau kajian perlu dilakukan bagi melihat sama ada kontraktor dilantik melaksanakan kerja pembersihan menepati tanggungjawab yang diberikan.

Katanya kontraktor dipertanggungjawabkan bukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran daripada kerja kontrak yang diberikan sebaliknya membantu kerajaan dalam menjaga aspek kebersihan.

“Tiada ertinya ganjaran diberi kepada mereka tetapi daerah tidak bersih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran program Sabah Bebas Sampah di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna mahu Majlis Daerah Semporna distruktur semula.

Katanya ia bagi memastikan pekerja di majlis daerah itu dapat melaksanakan tugas dengan berkesan khususnya memastikan tahap kebersihan di daerah itu pada tahap terbaik.

“Mana-mana pekerja yang dikenal pasti tidak menunaikan tanggungjawab dengan baik maka saya minta pegawai daerah ambil tindakan,” kata Mohd Shafie.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *