Keputusan siapa Ketua Menteri Sabah petang ini

KOTA KINABALU: Hanya beberapa jam lagi keputusan mengenai siapa Ketua Menteri Sabah yang sah bakal diumumkan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Yew Jen Kie.

Jen Kie yang selesai mendengar hujahan lisan daripada pihak defendan dan plaintif berkaitan kes itu pada 25 Oktober lalu, dijadual mengumumkan keputusannya pada jam 2.30 petang ini.

Keputusan itu penting kerana ia bukan saja menentukan siapa Ketua Menteri yang sah, malah juga berkait rapat dengan kedudukan kerajaan negeri.

Pada Jun lalu, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan isu pelantikan Ketua Menteri.

Saman itu bagi mendapat pengisytiharan bahawa Musa kekal Ketua Menteri yang sah mengikut undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei lalu selepas Barisan Nasional (BN) mendapat majoriti mudah 31 kerusi hasil kerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Bagaimanapun, dua hari kemudian, majoriti Musa berkurang selepas enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menyertai pakatan Parti Warisan Sabah (WARISAN), DAP dan PKR untuk membentuk kerajaan baharu dengan Mohd Shafie yang juga Presiden WARISAN, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Juhar.

Musa mendakwa beliau masih Ketua Menteri yang sah kerana tidak meletak jawatan, namun di pihak Mohd Shafie, majoriti yang diperoleh selepas enam ADUN BN menyokong pakatan pimpinannya menjadi asas untuk mengambil alih kerajaan.

Beberapa persoalan timbul mengenai apa yang akan berlaku jika keputusan mahkamah petang ini memihak kepada Musa, sama ada beliau boleh kembali memegang jawatan Ketua Menteri dan mentadbir semula negeri ini atau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tidak kurang juga mempersoalkan kelayakan Musa jika mahkamah memihak kepadanya kerana beliau tidak lagi memiliki majoriti dalam DUN selepas ramai ADUN BN kini menyokong kerajaan pimpinan Mohd Shafie.

Sebelum ini, bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Douglas Christo Primus, menjelaskan Musa tidak boleh meminta Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan walaupun keputusan mahkamah memihak kepadanya.

Katanya, Musa cuma boleh mengadakan persidangan DUN untuk membuat usul undi tidak percaya kerana beliau tidak memiliki majoriti selepas enam ADUN BN menyertai pakatan Parti Warisan Sabah (WARISAN), DAP dan PKR membentuk kerajaan pada 12 Mei lalu.

“Pihak yang boleh memanggil PRN adalah yang memiliki majoriti. Musa tiada majoriti meminta PRN, cuma boleh memanggil sidang DUN bagi mendapatkan undi dan kepercayaan. Jika masih tiada majoriti, beliau tetap tidak menjadi Ketua Menteri,” katanya.

Dalam kes berkenaan, Musa diwakili peguam Tengku Fuad Ahmad dan S Vanugopal. Peguam Besar Negeri, Datuk Zaleha Rose Pandin dan peguam Datuk Douglas Lind pula masing-masing mewakili Juhar dan Mohd Shafie.

Ketika hujah lisan sebelum ini, Tengku Fuad berkata Yang di-Pertua Negeri tiada kuasa berdasarkan Artikel 10 (4) Perlembagaan Negeri untuk meminta Musa meletak jawatan atau menganggap Musa sebagai sudah meletak jawatan.

Katanya, Juhar juga tiada kuasa membenarkan Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang baharu mengikut Artikel 6 (3) Perlembagaan Negeri memandangkan Musa sudah mengangkat sumpah.

Ia merujuk kepada pelantikan Musa sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 10 Mei lalu dan pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu pada 12 Mei.

Douglas Lind, dalam hujahnya, berkata Musa tidak lagi memiliki majoriti selepas enam ADUN BN menyokong WARISAN yang bekerjasama dengan DAP (enam kerusi) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memiliki dua kerusi.

Katanya, sesiapa saja yang mengawal DUN berdasarkan nombor (majoriti) akan menjadi kerajaan.

Kronologi kes saman Musa Aman terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Shafie Apdal

• 10 Mei – Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah selepas mendapat majoriti 31 kerusi daripada 60 DUN hasil kerjasama BN, STAR

• 12 Mei – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah mengambil alih kedudukan Musa sebagai Ketua Menteri apabila parti WARISAN, Upko dan PH serta beberapa lagi pemimpin yang bertindak meninggalkan BN mendapat majoriti.

• 14 Mei – Musa dilaporkan berlepas dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Umno.

• 14 Mei – Istana Negeri Sabah menghantar surat pemberitahuan kepada Musa bahawa beliau bukan lagi Ketua Menteri menerusi Setiausaha Sulitnya Effendy Sunoh.

• 16 Mei – Musa dikatakan keluar dari Malaysia namun tidak diketahui sesiapa termasuk pihak berkuasa.

• 17 Mei – Musa memfailkan saman terhadap Tun Juhar dan Shafie Apdal bagi mendapatkan pengisytiharan sebagai Ketua Menteri yang Sah

• 20 Mei – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membuat laporan polis terhadap Musa berhubung kes ugutan jenayah

• 31 Mei – Gambar kelibat seorang lelaki yang didakwa sebagai Musa dikesan di Stesen kereta api St Pancras, London menjadi tular.

• 5 Jun – Mohd Shafie mengemukakan permohonan membatalkan saman yang dibuat Musa.

• 6 Jun – Musa memfailkan saman baharu dengan disokong afidavit terhadap Tun Juhar dan Mohd Shafie.

• 26 Jun – Musa disahkan berada di United Kingdom bagi menjalani rawatan perubatan menerusi kenyataan peguam.

• 28 Jun – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun mengesahkan polis sudah menyerahkan notis merah kepada Interpol untuk mengesan Musa

• 21 Ogos – Musa kembali ke Malaysia dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTAAS) Subang sebelum menerima rawatan lanjut di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor

• 23 Ogos – Musa ditahan polis tetapi dibebaskan dengan jaminan

• 24 Ogos – Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan Mohd Shafie bagi membatalkan saman pemula yang difailkan Musa.

• 5 September – Musa kembali ke Sabah dan mengangkat sumpah sebagai ADUN Sungai Sibuga

• 5 September – Musa kembali ke Kuala Lumpur selepas mengangkat sumpah di DUN Sabah menggunakan pesawat peribadi.

• 25 Oktober – Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Yew Jen Kie selesai mendengar hujahan lisan pihak defendan dan plaintif – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *