Polis ketatkan kawalan berikutan pendengaran keputusan kes saman Musa

KOTA KINABALU, 5 Nov  – Polis Sabah akan memperketatkan kawalan di beberapa kawasan di Kota Kinabalu berikutan pendengaran keputusan mahkamah melibatkan saman bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang mencabar pelantikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 7 Nov ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata selain sekitar kawasan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pihak polis juga meningkatkan kawalan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) dan beberapa kawasan lain, namun enggan mengulas kawasan lain itu.

“Saya ingin menasihatkan agar penyokong kedua-dua pihak (Musa dan Mohd Shafie) supaya menghormati keselamatan dan ketenteraman awam.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk menangkap sesiapa sahaja yang cuba menimbulkan gangguan terhadap keselamatan orang lain dan prosiding mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis (PJP) Sabah antara Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Sabah SAC Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman, yang memangku Timbalan PJP Negeri, dan bekas Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Zaini Jass di sini hari ini.

Pada 6 Jun lalu, Musa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, memfailkan saman terhadap Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie 17 Mei lepas memohon pengisytiharan Musa kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.

Mengenai kekecohan pada pemilihan PKR di Keningau Sabtu lepas (3 Nov), Omar berkata beliau telah mengarahkan Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau untuk merakamkan keterangan saksi mengenai kejadian itu.

Pemilihan Cabang PKR Keningau kecoh apabila penyokong seorang calon yang bertanding jawatan Ketua Cabang itu bertindak menceroboh pusat pemilihan selepas pusat berkenaan ditutup pada jam 4 petang.

Sementara itu, Omar memberitahu pihak polis telah menyelesaikan siasatan kes rogol seorang remaja perempuan berumur 14 tahun di sebuah pusat tahanan sementara di Papar dan akan menyerahkan kes itu kepada Pejabat Pengarah Pendakwa Raya Sabah untuk tindakan lanjut.

Katanya, seorang suspek yang dipercayai bertugas sebagai salah seorang pengawal pusat tahanan itu ditahan polis dan dipercayai mangsa dan suspek saling mengenali satu sama lain.

Mangsa, yang ditahan di pusat itu sejak November tahun lepas dan telah dihantar pulang ke negara asalnya Filipina selepas kejadian, didakwa dirogol di pusat itu pada Mei lepas dan hamil enam bulan.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *