Subsidi minyak kereta 1.5cc, motosikal 125cc

KUALA LUMPUR: Pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menerusi mekanisme subsidi itu, katanya, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.

“Mekanisme baharu ini dijangka bermula pada suku kedua 2019.

“Untuk itu, sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka memanfaatkan empat juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pakatan Harapan (PH) melalui manifestonya berjanji akan memberi subsidi minyak secara bersasar kepada pemilik kereta persendirian dengan kapasiti enjin 1,300cc dan ke bawah atau pemilik motosikal 125cc dan ke bawah bagi 100 liter sebulan.

Guan Eng berkata, bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber di samping membendung ketirisan berikutan perbezaan harga minyak dan penyeludupan rentas sempadan, kerajaan akan mengapungkan semula harga petrol RON95 di pasaran berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *