Pemberian lesen menangkap ikan laut dalam perlu kelulusan di peringkat negeri – Mohd Shafie

MENUMBOK, 28 Okt – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kelulusan lesen menangkap laut dalam Sabah yang ketika ini dikeluarkan di peringkat pusat, seharusnya perlu turut mendapat kelulusan di peringkat kerajaan negeri untuk memastikan aspek kawalan penangkapan ikan dapat dilaksanakan dengan baik.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam masa terdekat untuk melihat semula kerangka prosedur pemberian lesen itu agar mendapat persetujuan di peringkat negeri sebelum dikeluarkan.

“Kita mahu sebarang kelulusan yang diberi kerajaan pusat haruslah mendapat persetujuan di peringkat negeri kerana kita tahu mana nelayan yang ada keupayaan, selain memudahkan kita membuat pengawalan dari segi penangkapan ikan.

“Kerjasama di antara kerajaan pusat dan negeri perlu ditingkatkan demi memastikan sektor perikanan di Sabah dapat diurus dengan baik dan tersusun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Nelayan Menumbok Ke-18, di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya pengeluaran lesen menangkap ikan laut dalam itu memerlukan kelulusan di peringkat negeri, maka langkah penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Kita juga perlu meningkatkan kawalan dan berusaha mencegah pencerobohan nelayan asing agar sumber mata pencarian nelayan Sabah tidak pupus. Sumber ikan akan pupus sekiranya tidak ada kawalan yang berkesan.

Sementara itu, ditanya mengenai projek pembinaan bangunan Ko-Nelayan Kuala Penyu, Mohd Shafie berkata peruntukan untuk membina bangunan itu sudah diluluskan.

“Peruntukan diluluskan dan kemungkinan ada masalah tanah atau lokasinya tidak sesuai. Bangunan ini sangat penting untuk para nelayan di sini berkumpul dan berbincang bagaimana meningkatkan taraf hidup. Saya sendiri akan memantau pelaksanaan projek itu agar ia dapat dijayakan,” tambahnya.

Mengulas mengenai masalah air di Kuala Penyu yang sudah berlarutan sejak sekian lama pula, Mohd Shafie berkata masalah itu akan selesai tidak lama lagi.

“Kita akan selesaikan masalah air bukan saja di Kuala Penyu tetapi di seluruh Sabah. Kita sudah rombak Jabatan Air Sabah dengan melantik pengarah yang baharu. Dalam usaha memantapkan jabatan itu kita akan menempatkan 19 jurutera di seluruh Sabah untuk memastikan masalah air dapat diatasi dengan baik,” katanya.

– BERNAMA

77