Lapan Ditahan Positif Dadah Di Keningau

Dua orang warga emas antara lapan individu yang ditahan dalam Ops Cegah AADK Keningau. Gambar SNT/Ehsan AADK Keningau

KENINGAU: Dua orang warga emas antara lapan yang ditahan dalam satu Ops Cegah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di tiga buah kampung sekitar Keningau pada Rabu.

Ketua Operasi Ops Cegah AADK Keningau Azry Golbin @ Azmi berkata, dua individu berkenaan yang ditahan adalah terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan berusia lingkungan 55 tahun.

“Setelah ujian saringan air kencing, kedua-dua mereka disahkan positif dadah jenis Methamphetamine (syabu).

“Ketika ditahan, kedua-dua suspek ini sedang asyik dan khayal menghisap syabu di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Damai Batu 28 Jalan Tenom.

“Kedua-dua mereka di tahan dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana disyaki penagih dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Azry berkata, dalam operasi berkenaan juga berjaya menahan seramai enam lagi suspek yang kesemuanya positif dadah jenis syabu setelah ujian saringan air kencing dijalankan.

Menurutnya, Operasi yang dijalankan bermula pukul 3 petang itu dibuat berdasarkan maklumat dan risikan selama seminggu dilokasi yang telah disasarkan.

“Menerusi Operasi-operasi yang dijalankan secara berterusan oleh pihak AADK Keningau ini diharapkan tahap kesedaran masyarakat kita akan semakin meningkat tentang bahaya dan kesan negatif berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Di samping itu juga, program-program pencegahan dadah tetap akan dilaksanakan secara berterusan bagi mewujudkan tahap kesedaran yang tinggi dalam diri masyarakat.

“Anggota masyarakat atau komuniti merupakan entiti yang sangat penting sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah khasnya dalam kawasan atau komuniti masing-masing,” jelasnya.

Azry turut menasihatkan kepada masyarakat setempat agar dapat melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak AADK Keningau di talian 087-339886.

Sumber -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *