Mohd Shafie kagum projek kopi Sabah FSI

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  berkata  beliau kagum  dengan Projek Kopi Sabah Persekutuan Industri Sabah (FSI) dan keinginan persekutuan itu meletakkan biji kopi dari Sabah di atas peta dunia.

Beliau berkata dengan kira-kira 2,500 juta cawan kopi diminum di seluruh dunia setiap hari, tidak sukar untuk memahami mengapa kopi boleh menjadi suatu perniagaan yang berdaya maju untuk diterokai.

Mohd Shafie berkata tidak diragui kopi merupakan satu produk pertanian dunia yang paling bernilai dan mungkin komoditi kedua paling berharga selepas petroleum.

“Di Sabah, kita mempunyai banyak tanah yang boleh dijadikan  kawasan  penanaman  kopi  untuk  kita   meningkatkan pengeluaran biji kopi tempatan.  Ia akan jadi lebih menyeronokkan jika kita boleh menghasilkan  biji kopi sendiri, SABARICA  dan memberi saingan kepada biji-biji kopi lain.

Sabah sudah pasti dalam satu kedudukan untuk menjadi pengeluar biji kopi utama di rantau ini dan kerajaan  diterajui Warisan tidak akan teragak-agak untuk membantu pelabur dalam projek ini.  Saya pasti, FSI mempunyai keupayaan, kepakaran dan kewangan untuk menceburi bidang ini,” katanya.

Mohd Shafie berkata  demikian pada Majlis Makan Malam Tahunan FSI ke-35 di sini malam ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Menerusi projek ini Mohd Shafie berkata beliau pasti FSI akan mampu membantu pekebun-pekebun kecil  di Sabah untuk menceburi perladangan kontrak dengan kopi sebagai produk utama, dengan syarat  mereka  diberi kepastian oleh FSI untuk membeli kesemua produk hasil mereka.

“Dengan cara ini kami boleh membantu golongan miskin di pedalaman untuk meningkatkan  pendapatan  mereka dan FSI akan lebih dikenali kerana menyumbang menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).  Sila kembali kepada saya apabila anda mempunyai fakta dan angka selain daripada cadangan pembangunan,” Mohd  Shafie berkata.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *