RMk11: Ambil maklum harapan PM terhadap negara – Shafie

KOTA KINABALU – Semua penggubal dasar digesa supaya mengambil maklum tentang harapan dan hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membina sebuah negara yang memberi manfaat kepada semua pihak.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Dr Mahathir menyatakan dengan jelas apabila beliau menyentuh tentang pembangunan negara yang perlu dinikmati oleh semua rakyat.

Beliau berkata perdana menteri menghantar mesej yang sangat penting apabila beliau menyebut tentang Persekutuan dan Bangsa Malaysia semasa membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat hari ini.

“Jangan ada lagi sesiapapun yang merasakan diri mereka dipinggirkan daripada arus perdana pembangunan, yang juga tidak boleh diabaikan di negeri atau wilayah tertentu.

“Ini menunjukkan keikhlasan perdana menteri dalam memastikan kesaksamaan bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan wilayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Shafie, yang juga Anggota Parlimen Semporna dan menghadiri persidangan Dewan Rakyat hari ini, berkata Sabah dan  Sarawak bersuara lantang dalam meminta agar kemakmuran serta kekuasaan dibahagi secara adil.

Dalam lawatan beliau ke Kota Kinabalu bulan lepas, Dr Mahathir memberi penekanan tentang status samarata bagi Sabah serta Sarawak dan mengulangi ikrar beliau itu di Parlimen.

Di bawah Kajian Separuh Penggal RMK11, projek pembangunan di Sabah dan Sarawak, termasuk projek infrastruktur asas seperti bekalan air serta elektrik di kawasan luar bandar, akan dipertingkatkan untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Pembinaan 106 menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf 400 menara sedia ada akan meningkatkan liputan jalur lebar di kawasan luar bandar kedua-dua negeri.

Kira-kira 7,000 buah rumah mampu milik akan dibina selain penambahbaikan  400 buah sekolah yang uzur, manakala kerja pengukuran dan pemetaan Tanak Hak Adat akan  dilaksanakan bagi membolehkan tanah itu dimajukan.

Kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak akan diperkasakan menerusi penawaran pelbagai program khusus, peluang dalam bidang pendidikan di samping latihan kemahiran dan keusahawanan.

– BERNAMA