Bayi maut, tiga parah dikelar ibu

 

kejadian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut manakala dua kakak dan abang parah selepas dikelar ibu mereka di kuarters sebuah pusat peranginan di Pulau Mantanani, Kota Belud. – Foto ihsan pembaca

KOTA BELUD: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut manakala dua kakak dan abangnya parah selepas dikelar ibu mereka dalam kejadian di kuarters sebuah pusat peranginan di Pulau Mantanani, dekat sini, hari ini.

Jerry Yohanes meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua kakaknya Nurul Hanisa, 8, Melati, 7, dan abangnya Jehan, 5, parah di leher selepas dikelar dengan pisau dan kini menerima rawatan di Hospital Kota Belud.

Suspek berusia 30 tahun yang juga ibu kandung mangsa kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar leher sendiri namun berjaya dihalang suaminya.

Menurut sumber, suami kepada suspek dalam keadaan berlumuran darah meminta bantuan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 yang sedang membuat rondaan berhampiran pusat peranginan itu jam 1.40 tengah hari.

“Lelaki itu dalam keadaan berlumuran darah meminta bantuan dan mengatakan bahawa empat anaknya parah dikelar di kuarters mereka.

“Susulan itu, sepasukan PGA Batalion 16 bergegas ke tempat kejadian bersama lelaki berkenaan. Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati empat kanak-kanak termasuk bayi terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

“Namun bayi lelaki berusia lapan bulan dipercayai sudah tidak bernyawa dengan kesan kelar di lehernya. Tiga lagi kanak-kanak parah dan turut terdapat kesan kelar di leher,” katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, ibu kepada mangsa turut ditemui parah di leher dipercayai cuba membunuh diri dengan mengelar leher sendiri.

“Semua kanak-kanak yang parah dan ibu mereka dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan bot.

“Tiga kanak-kanak yang parah dan ibu mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Difahamkan, suspek mengalami kemurungan sebelum bertindak mengelar empat anaknya menggunakan pisau.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan seorang mangsa disahkan meninggal dunia.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Kejadian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut manakala dua kakak dan abang parah selepas dikelar ibu mereka di kuarters sebuah pusat peranginan di Pulau Mantanani, Kota Belud. – Foto ihsan pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *