Arwah sempat beli jersi untuk pasukan

Janazah pemain futsal Sabah, Faizal Alli tiba di Lapangan Terbang Tawau untuk dikebumikan di Kampung Merotai Besar, Tawau. Foto Abduk Rahemang Taiming

PEMAIN futsal Sabah, Faizal Alli, 41, yang disambar petir ketika menyertai Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS) di Kuala Lumpur minggu lalu, sempat membeli baju jersi baharu untuk rakan sepasukannya.

Menurut abangnya, Jeffry Alli, 50, jersi baharu itu untuk digunakan ketika latihan bersama semua rakan dalam pasukan Futsal Sri Aman di Tawau.

Jeffry berkata, sebelum menyertai kejohanan futsal itu, Faizal kerap memaklumkan perasaan teruja untuk ke Kuala Lumpur walaupun ia bukan kali pertama mewakili Sabah.

Katanya, kali terakhir dia bertemu Faizal yang juga anak ke-10 daripada 11 beradik pada dua minggu lalu ketika dia menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di daerah Tawau.

“Ketika di Bukit Jalil (menyertai LiSUS), arwah dikatakan banyak berbelanja dan membeli hadiah untuk isteri dan anak-anak.

“Selain itu, dia kerap berkongsi dan menghantar gambar swafoto ketika berada di sana (Kuala Lumpur), padahal itu bukan perangai dia,” ketika ditemui di Lapangan Terbang Tawau ketika menunggu ketibaan jenazah adiknya, hari ini.

Faizal yang meninggalkan isteri serta tiga anak, meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Kuala Lumpur, 11.02 pagi semalam selepas lima hari tidak sedarkan diri akibat dipanah petir.

Dalam kejadian 4.30 petang Sabtu lalu, tiga pemain futsal termasuk Faizal dipanah petir ketika perlawanan Sabah menentang Terengganu di padang Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merotai Besar dekat Tawau, hari ini.

Sementara itu, rakan sepasukan, Abdul Wahid Habib Abdullah, 25, yang turut cedera dalam insiden itu berkata, dia tidak menyangka kejadian pantas itu meragut nyawa rakannya.

Mengimbas kejadian itu, Abdul Wahid berkata, perlawanan baru hendak bermula sebelum hujan lebat dan tiba-tiba mereka disambar petir dan terbaring atas padang.

“Dalam keadaan kesakitan dan kekejangan saya sempat melihat arwah terbaring berhampiran tiang gol, selepas itu saya sedar sudah berada di hospital,” katanya.

Sumber : Harian Metro