ESSCom tahan 22 pati di Lahad Datu

ESSCom tahan 22 pati di Lahad Datu

LAHAD DATU, 18 Okt – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi bersepadu selama enam jam di sini pada Selasa.

Komander ESSCom, DCP Datuk Hazani Ghazali berkata kesemua mereka adalah daripada 118 individu yang diperiksa bermula pukul 8 malam di empat lokasi iaitu kawasan Fun Fair Lahad Datu, rumah kongsi pekerja di Kampung Puyut dan Agaseh serta Pasar Rakyat di sini.

“Dua puluh dua individu ditahan terdiri daripada 15 lelaki serta seorang wanita warga Filipina dan empat lelaki serta dua wanita warga Indonesia.

“Kesemua mereka berumur antara 17 hingga 55 tahun dan ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen sah serta memiliki pas yang tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan 73 pegawai dan anggota daripada Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD)

Pada operasi itu, JPJ turut mengeluarkan tujuh notis kepada pemandu yang mempunyai kesalahan iaitu empat notis kerana tidak memiliki lesen memandu, dua notis memasang cermin gelap serta satu kesalahan gagal menampal pelekat P pada kenderaan dipandu.

Pada masa sama, MDLD turut mengeluarkan empat notis kompaun kepada peniaga yang menyalahi   undang-undang, di samping turut merampas 150 unit minuman ringan, 500 unit makanan ringan dan 70 kilogram buah-buahan pelbagai jenis.

Sumber- BERNAMA

ESSCom tahan 22 pati di Lahad Datu
ESSCom tahan 22 pati di Lahad Datu
85