APMM Semporna tahan dua lelaki disyaki buru penyu

SEMPORNA, 14 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)  Semporna menahan dua lelaki  disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan memburu penyu di kawasan perairan di sini, semalam.

Pengarah APMM Semporna Komander Maritim Norrimi  Hassan berkata pasukan APMM  yang menjalankan rondaan di kawasan tanggungjawab, menahan dan memeriksa bot pam dinaiki kedua-dua lelaki tersebut berhampiran perairan Kampung Labuan Haji di Pulau Bum-Bum pada kira-kira 4.30 pagi.

“Juragan dan awak-awak masing-masing berusia 52 dan 38 itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan teliti ke atas  bot itu turut menemukan cengkerang yang cuba diseludup serta peralatan memburu penyu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Norrimi berkata APMM akan meningkatkan lagi rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perlanggaran undang-undang di perairan Semporna dapat ditangani.

Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung pelanggaran undang-undang laut atau kecemasan boleh menghubungi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

— BERNAMA

81