Pengawas cedera dibelasah senior

GAMBAR HIASAN

LABUAN: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat sebuah sekolah berasrama penuh, di sini, cedera dibelasah empat pelajar senior di kawasan lapang dekat dewan makan di sekolah berkenaan, kelmarin.

Mangsa mengalami patah jari manis pada tangan kanan, selain lebam di kepala, calar di leher dan sakit di kening serta kedua-dua tangan.

Susulan kejadian itu, mangsa ditemani bapanya membuat laporan polis pada jam 4.18 petang semalam.

Difahamkan, mangsa adalah pengawas di sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad, berkata susulan laporan itu, empat pelajar Tingkatan Lima sekolah berkenaan ditahan.

“Semua pelajar berusia 17 tahun ditahan semalam selepas dibawa oleh pihak sekolah.

“Siasatan mendapati, suspek tidak berpuas hati dengan mangsa kerana melaporkan kepada guru disiplin mengenai perbuatan mereka merokok di kawasan sekolah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Farid berkata, siasatan masih diteruskan dan semua suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *