Anifah bayangkan tubuh parti baharu

PAPAR: Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman membayangkan untuk menubuhkan sebuah parti baharu dengan menggabungkan semua parti tempatan untuk menyokong tuntutan hak rakyat Sabah termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bagaimanapun, ketika ditanya wartawan, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menyatakan parti berkenaan yang disebutnya sebagai `rumah baharu’ hanya akan ditubuhkan sekiranya ada keperluan.

“Saya suka guna istilah ‘rumah baharu’ di mana semua boleh bernaung dan saya katakan apa gunanya kita tinggal di rumah banglo kalau tinggal di tepi tandas. Jadi kalau rumah teres pun tereslah, sama-sama kita berkongsi.

“Jadi hari ini, kalau kita kata rumah baharu, tapi kalau saudara (wartawan) dengar dengan terperinci kalau sekiranya kita menubuhkan ‘rumah baharu’, setakat ini istilah rumah baharu dengan gabungan ini belum kita beri definasi yang kukuh,” katanya ketika diminta mengulas ucapan beliau berhubung ‘rumah baharu’ pada Majlis Santai dan Ramah Mesra Program Penjelasan MA63 di Kimanis, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan peguam Ansari Abdullah yang turut menjadi panel dalam penjelasan MA63 kepada orang ramai.

Anifah berkata, pendapatnya itu akan diutarakan kepada rakan-rakan parti lain sekiranya perlu.

“Sekiranya perlu dan pada masa tepat bahawa kemungkinan gagasan itu apa kata sekiranya kalau kita buat sebagai sebuah rumah sahaja dan ini terpulang kepada perbincangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengesyorkan untuk melihat taraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi.

“Apakah kemungkinan melalui perundingan, melalui undang-undang Sabah Sarawak boleh menjadi rakan kongsi bukan satu daripada 13 negeri. Saya rasa inilah yang diimpikan rakyat Sabah secara keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, ketika ditanya sekiranya beliau ada rancangan untuk menyertai mana-mana parti selepas keluar daripada UMNO, Anifah berkata ia tidak difikirkan langsung.

“Tiada perancangan peribadi sekarang. Saya cuma mahu memperjuangkan MA63 untuk rakyat Sabah,” katanya.

Anifah antara pemimpin tertinggi UMNO yang mengumumkan keluar daripada UMNO pada 19 September lalu.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *