Wisma Dang Bandang Dikerumuni Pemegang IMM13 Ingin Daftar Anak-Anak

Pintu masuk ke lobi bawah Wisma Dang Bandang dipenuhi pemegang IMM13 yang ingin berurusan dengan Unit Khas Imigresen. Gambar SNT/Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Permohonan pengeluaran dokumen IMM13 bagi anak-anak pemegang IMM13 kini diterima semula sejak ditangguhkan pada tahun 2013.

Menurut Pengarah Imigresen Sabah, Musa Sulaiman dalam satu kenyataan berkata Jabatan Imigresen mula menerima kembali permohonan-permohonan tersebut pada 1 Oktober, 2018.

Pengarah Imigresen Sabah Musa Sulaiman. Gambar Fail SNT

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan keadaan penuh sesak di pejabat Unit Khas Imigresen, Wisma Dang Bandang di sini hari ini.

“Hal ini adalah disebabkan pertambahan secara mendadak pelanggan kami yang terdiri daripada pemegang kad IMM 13 yang membawa anak mereka untuk mendaftar IMM 13,” katanya.

Menurut Musa, Jabatan Imigresen hanya menerima permohonan pengeluaran IMM13 bagi anak-anak pemegang IMM13 yang mempunyai rekod kelahiran daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

Pemegang-pemegang IMM13 berpusu-pusu untuk ke Pejabat Unit Khas Imigresen di Wisma Dang Bandang. Gambar SNT/Chris Maskilone

Sehubungan itu jabatan ini memohon bantuan semua agar kejadian kesesakan ini tidak diberikan persepsi negatif, katanya.

Beliau berkata lagi, jabatan akan mempastikan keadaan sentiasa terkawal.

Pengeluaran IMM13 untuk anak-anak pemegang IMM13 dibekukan sejak 2013 antara lain atas faktor keselamatan.

Pintu masuk ke lobi bawah Wisma Dang Bandang penuh sesak. Gambar SNT/Chris Maskilone

Dokumen IMM13 telah dikeluarkan kepada pelarian perang dari Selatan Filipina di penghujung tahun 1970an.

Sebelum ini terdapat laporan menyatakan jumlah pemegang IMM13 di Sabah adalah seramai 55,000 orang.

Sumber -SabahNewsToday

110