Usaha halau 62 gajah diteruskan

KIRA-KIRA 40 ekor gajah dilaporkan berada si sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Segama, Lahad Datu, semalam. – Foto Jabatan Hidupan Liar

LAHAD DATU: Staf Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bersama pekerja ladang masih berusaha menghalau 62 gajah yang memasuki kawasan ladang kelapa sawit di kawasan Ulu Segama, dekat sini.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga, berkata pihaknya mendapati jumlah sebenar gajah yang berkeliaran di lokasi itu ialah 62 ekor, berbanding anggaran awal 40 ekor sebelum ini dengan haiwan liar terbabit pula berpecah kepada lima kumpulan kecil.

Ini katanya, menyukarkan usaha menghalau gajah terbabit kembali ke Hutan Simpan Kawag atau Hutan Simpan Ulu Segama berhampiran.

“Setakat ini ladang yang terbabit dengan serangan gajah itu ialah Ladang Transkina, Agro Chem dan kebun yang terletak antara Hutan Simpan Kawag dan Hutan Simpan Mesuli,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Sabtu lalu, NSTP melaporkan kira-kira 40 gajah dilaporkan memasuki kawasan ladang kelapa sawit di Ulu Segama, di sini, sejak 1 Oktober lalu dengan seekor daripadanya dikesan mengalami kecederaan di kaki, dipercayai terkena jerat.

Mengulas lanjut, Augustine berkata, gajah terbabit kemungkinan masuk ke kawasan ladang kerana pihak ladang sedang menebang pokok sawit tua yang digemari haiwan terbabit sebagai makanan.

“Kumpulan gajah ini juga dilaporkan berada di Hutan Simpan Mesuli pada waktu siang dan masuk ke ladang pada petang hingga subuh. Jumlah kakitangan bertugas sudah ditambah kepada sembilan orang dan dibantu kakitangan ladang.

“Cara menghalau ialah menggunakan bunyi tembakan senapang serta menghidupkan unggun api, selain kenderaan serta jentera berat milik ladang berkenaan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

298