Empat ditahan miliki haiwan dilindungi tanpa permit

Bangkai yang dipercayai haiwan terlindung, Kijang yang dirampas dari kumpulan lelaki tersebut. – GAMBAR BERNAMA

KOTA KINABALU –  Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) hari ini menahan  empat lelaki tempatan kerana memiliki haiwan dilindungi tanpa sebarang permit daripada jabatan itu.

Pegawai Serantanya Siti Nur’ain Ampuan Acheh berkata lelaki berusia 23 hingga 43 tahun terbabit  ditahan pada sekatan jalan yang diadakan secara bersama oleh  SWD dan Jabatan Perhutan Sabah di pintu masuk kawasan konsesi Yayasan Sabah di Sungai Milian, Tongod pada 9.05 pagi tadi.

Selain itu katanya pegawai penguat kuasa jabatan juga merampas dua karkas yang dipercayai  kijang pada sekatan jalan tersebut.

“Sekatan jalan itu diadakan susulan maklumat awam mengenai sekumpulan pemburu memasuki kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Siti Nur’ain SWD turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda dan motosikal daripada suspek.

Katanya laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kinabatangan bagi membolehkan siasatan lanjut menurut Seksyen 41(2) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki haiwan dan produk haiwan dilindungi tanpa permit daripada SWD.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda antara RM30,000 dan RM100,000 atau penjara enam bulan hingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Sumber – BERNAMA

174