Perbarisan Hari Jadi Rasmi TYT Sabah meriah

TUN Juhar Mahiruddin memeriksa barisan Kawalan Kehormatan Utama Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Kabota, Tawau sempena Istiadat Perbarisan Hari Jadi Rasmi ke- 65 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kira-kira 5,000 orang termasuk peserta hadir memeriahkan upacara perbarisan sempena Hari Jadi Rasmi Ke-65 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di Padang Merdeka, di sini, pagi tadi.

Acara perbarisan yang bermula jam 7.30 pagi itu membabitkan 2,442 peserta perbarisan daripada 74 kontinjen pasukan keselamatan termasuk polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar.

Acara bermula dengan Yang di-Pertua Negeri menerima Tabik Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Ke-Tujuh, Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kem Kabota, Tawau, disusuli Lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku serta diiringi tembakan meriam 17 das.

Juhar kemudian memeriksa perbarisan pasukan kontinjen yang mengambil bahagian dengan diiringi Mejar Mohideen Iddin dari Kem Lok Kawi.

Turut diadakan persembahan khas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan persembahan kawad formasi daripada Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Yang turut hadir ialah isteri Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; dan dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew serta menteri Kabinet kerajaan negeri dan Persekutuan.

Sejurus selesai acara perbarisan, majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran menyusul di Istana Negeri bermula jam 10 pagi ini serta Majlis Makan Malam Negeri di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri (DUN), malam ini.

Sempena sambutan hari jadi rasmi Juhar pada tahun ini, beberapa acara lain turut diadakan termasuk berbasikal bersama Yang di-Pertua Negeri di Taman Awam Teluk Likas, di sini, esok.

Selain itu, majlis jamuan teh bersama kanak-kanak istimewa dan yatim turut diadakan di Hotel Promenade pada 11 Oktober ini, manakala Kejohanan Golf Amal Yang di-Pertua Negeri pada 27 Oktober ini.

Turut diadakan ialah majlis perasmian pameran dan penyampaian hadiah karya pilihan tahunan Negeri Sabah ke-33 pada 16 November depan.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *