Polis Marin rampas 2,000 biji telur penyu cuba diseludup ke Sandakan

SANDAKAN, 5 Okt -Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 2,000 biji telur penyu yang cuba diseludup dari Filipina untuk penjualan secara haram di daerah ini.

Rampasan telur penyu itu yang keseluruhannya bernilai RM4,000 dilakukan selepas anggota PPM menahan sebuah bot pam di sungai Batu Putih dekat sini pada jam 6.10 pagi semalam.

Pemangku Komander PPM Wilayah Sabah Supt Mohd Nasir Othman anggota PPM yang membuat intipan dan pemantauan di sungai itu mengesan sebuah bot pam dari arah laut dalam keadaan mencurigakan.

Katanya apabila dihampiri, juragan bot pam tersebut memecut laju memasuki sungai Batu Putih dan enggan berhenti.

Anggota PPM mengejar dan berjaya menahan bot pam tersebut, bagaimanapun juragan bertindak terjun ke dalam sungai dan tidak dapat dikesan, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya hasil pemeriksaan di bot pam dengan nombor pendaftaran Filipina itu menemui empat karung plastik mengandungi telur penyu tersebut.

Beliau berkata kesalahan memiliki telur penyu itu di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Sumber – BERNAMA

79