Penerbangan domestik MASWings Sabah, Sarawak dikecualikan SST

KUCHING, 2 Okt – Tiket penerbangan domestik di Sarawak dan Sabah dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Bagaimanapun kata Penolong Kanan Pengarah Kastam I, Bahagian SST Jabatan Kastam  Sarawak  Noelle  Lily Morse, pengecuaian itu hanya melibatkan  penerbangan MASWings yang menyediakan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di 49 laluan.

Pengecualian ini berikutan perjanjian di antara kerajaan Sarawak dan RAS yang didefinisikan sebagai  perkhidmatan  udara tidak ekonomik yang dijalankan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, katanya pada Taklimat SST anjuran Jabatan Penerbangan Sarawak, di sini hari ini.

“Sekiranya penerbangan itu melibatkan contohnya Kuching ke Kota Kinabalu atau Kuching ke Kota Kinabalu kemudian ke Labuan, cukai akan dikenakan, pengecualian di sini bermaksud penerbangan dalaman di Sarawak dan Sabah,” katanya.

Taklimat yang dihadiri 286 peserta melibatkan kakitangan agensi dan jabatan di bawah Kementerian  Komunikasi dan Multimedia itu serta agensi luar seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak dan Angkatan Tentera Malaysia dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian  Shakib Ahmad Shakir.

Mengulas lanjut, Noelle berkata pengecualian cukai itu juga bertujuan memberi keselesaan kepada pengguna yang bergantung pada penerbangan sebagai alternatif terbaik selain menjadi pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk di kawasan luar bandar.

“Saya ambil contoh di Sarawak, pengecualian ini dibuat untuk membantu mengurangkan beban  kerana pengangkutan udara  menjadi keperluan terutama dalam keadaan jalan raya tidak memuaskan,” katanya selain memendekkan tempoh perjalanan.

Untuk rekod, MASWings menyediakan perkhidmatan RAS di 49 laluan yang melibatkan 10 lapangan terbang dan 14 padang terbang di Sabah dan Sarawak.

Sumber – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *