Nelayan setuju daftar bot pam

SANDAKAN: Cadangan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mendaftarkan pemilik bot pam dan memperkenalkan kod warna mengikut daerah memudahkan nelayan kecil melakukan aktiviti tanpa perlu rasa bimbang.

Bekas Ketua Kampung Bahagia, Sharif Hashim, 61, berkata masih ada sejumlah nelayan di kampung terbabit yang menggunakan bot pam untuk mencari rezeki dengan tangkapan utama ketam serta udang.

Katanya, ini kerana mereka tidak mampu memiliki enjin sangkut yang berharga ribuan ringgit, berbanding enjin pam dengan kos kira-kira RM500 untuk lima kuasa kuda.

Selepas kerajaan terdahulu membatalkan penggunaan bot pam, katanya, nelayan di kampung terbabit tidak lagi berani melakukan aktiviti seharian kerana bimbang dikenakan tindakan oleh pihak penguatkuasaan.

“Justeru, apabila ada cadangan untuk mendaftarkan bot pam dan memperkenalkan kod warna, kami menyambut baik dan berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi membantu nelayan kecil.

“Selain kod warna, wujudkan juga peraturan terhadap bot pam yang mewajibkan nombor pendaftaran bot ditulis lebih besar pada bot dan bentuk pengenalan lain seperti topi yang dipakai nelayan agar memudahkan pihak penguatkuasaan mengenal pasti sama ada ia digunakan nelayan tempatan atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata ESSCOM akan berbincang dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai penggunaan bot pam susulan kejadian penculikan dan berbalas tembakan di perairan pantai timur.

Ia termasuk membincangkan cadangan penggunaan kod warna bot pam mengikut daerah di Sabah sebagai usaha memantau pergerakan perairan di negeri ini, terutama perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Tinjauan NSTP ke kawasan Sungai Batu Putih pula mendapati sekurang-kurangnya lima bot pam melalui perairan itu dalam tempoh sejam dengan ada antaranya turut memasang pukat dipercayai menangkap udang.

Sementara itu, seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Karim berkata, nelayan kecil yang menggunakan bot pam cuma beroperasi di pesisir pantai dengan tangkapan utama, ketam dan udang.

“Mungkin pihak keselamatan juga boleh mewajibkan bot pam, cuma boleh digunakan dalam kawasan tertentu. Jika keluar dari kawasan sepatutnya, ia boleh diambil tindakan,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *