Sabah pertimbang pangkalan keselamatan di Keningau

DATUK Seri Mohd Shafie Apdal bergambar pada Program Sehari Bersama Ketua Menteri di Dewan Masyarakat Keningau. – Foto Olivia Miwil

 

KENINGAU: Kerajaan Sabah bercadang membina pangkalan keselamatan berhampiran pintu masuk di Keningau sebagai langkah meningkatkan keselamatan di daerah pedalaman yang bersempadanan dengan Indonesia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perkara itu akan dipanjangkan ke Jawatankuasa Keselamatan negeri sekali gus mengukuhkan pengawasan sempadan.

Katanya, beliau menerima cadangan daripada Pegawai Daerah Keningau, Yusop Osman untuk meletakkan daerah ini sebagai sebahagian daripada kawasan di bawah pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), berikutan daerah ini turut menjadi pintu masuk dari Indonesia dan Brunei.

“Kerajaan negeri akan melihat keupayaan kerana terdapat banyak perkara yang perlu (untuk memperbaiki) keselamatannya terutama di pantai timur.

“Kami juga meminta supaya keselamatan diperketat dalam bentuk pencegahan di sempadan atau penempatan peralatan untuk membendung sebarang kemungkinan ancaman,” katanya kepada media selepas Program Sehari Bersama Ketua Menteri di Dewan Masyarakat Keningau di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Ewon Benedick.

Ketika ini, seramai 255 anggota polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau yang membabitkan pengawasan di daerah ini, Nabawan, Tambunan dan Sook.

Terdahulu, Mohd Shafie berkata, program turun padang itu yang kedua diadakan sejak Parti Warisan Sabah (WARISAN) pimpinannya mengambil alih kerajaan negeri, antara lain bertujuan membolehkan pemimpin kerajaan memahami keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, antara isu dibangkitkan termasuk dokumentasi iaitu pendaftaran lewat sijil kelahiran, isu tanah, kanak-kanak tanpa kerakyatan dan peluang pekerjaan terutama dalam kalangan belia.

“Ini sebuah kerajaan baharu, oleh itu saya meminta pegawai agensi dan jabatan kerajaan untuk menjadi cekap dan berkesan dalam sistem penyampaian bagi membantu rakyat.

Sumber – Berita Harian Online

88