Polis cedera dilibas suspek dadah

sekadar gambar hiasan

PENAMPANG: Seorang anggota polis menerima lima jahitan di siku kiri selepas dilibas senjata tajam ketika menjalankan operasi membanteras dadah di sebuah kawasan setinggan di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian 4.45 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu bersama sepasukan polis menyerbu sebuah rumah disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah apabila seorang lelaki bertindak agresif melibas parang ke arah mangsa.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata ketika kejadian mangsa bersama beberapa pasukan polis mengepung sebuah rumah tidak bernombor di kawasan setinggan berkenaan.

“Secara tiba-tiba seorang lelaki yang berada di depan rumah itu cuba melarikan diri dan anggota polis (mangsa) yang berada berhampiran suspek cuba menghalangnya.

“Suspek bagaimanapun bertindak agresif melibas sebilah parang panjang ke arah anggota polis itu. Secara spontan mangsa menghalang libasan parang menggunakan tangannya dan menyebabkan siku sebelah kiri luka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, suspek kemudian berjaya ditangkap oleh anggota polis lain dan merampas parang digunakannya dalam kejadian itu.

“Polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 5.28 gram. Suspek warga asing berusia 48 tahun didapati positif dadah dan barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.

“Anggota polis yang cedera mendapat rawatan di hospital dan menerima lima jahitan. Kes disiasat mengikut 332 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam,” katanya.

Sumber – Berita Harian Online

208