Ketua Menteri Sabah terima kunjungan hormat Gabenur Sulawesi Barat

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersalaman dengan Gabenur Sulawesi Barat Ali Baal Masdar. Gambar JKM

KOTA KINABALU, 27 Sept – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menerima kunjungan hormat daripada Gabenur Sulawesi Barat Ali Baal Masdar bagi membincangkan beberapa bentuk kerjasama yang bakal dilaksanakan kedua-dua pihak.

Diiringi delegasinya, Ali Baal disambut Mohd Shafie di pejabat beliau pada 2.30 petang. Pertemuan itu berlangsung kira-kira satu jam setengah.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Ali Baal berkata antara perkara yang dibincangkan adalah ekonomi, budaya, perdagangan, dan masalah tenaga kerja.

“Kita melihat bagaimana kedua-dua pihak dapat menjalinkan kerjsama contohnya berkenaan tenaga kerja dari Sulawesi Barat yang bekerja di Sabah.

“Seperti yang kita tahu ramai warga Sulawesi Barat bekerja di sini dan kita berbincang mengenai hal seperti bagaimana kerajaan dapat memberikan perlindungan yang baik kepada mereka dan sekiranya terdapat masalah kita boleh bekerjasama menyelesaikan perkara itu,” katanya.

“Susulan perjumpaan ini kita akan membuat pasukan masing-masing untuk melihat atau meniliti apa kerjasama yang boleh dilaksanakan sama ada di Sabah atau di Sulawesi Barat, sebelum kita memeterai apa-apa perjanjian,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *