‘Pulanglah abang’

SITI Normalah Kama menunjukkan gambar abangnya, ketika ditemui di Pejabat NSTP cawangan Sabah, hari ini. – Foto Izhari Ariffin

 

KOTA KINABALU: “Selepas abang saya berhijrah ke Semenanjung pada 2010 lalu, sehingga hari ini tiada khabar berita,” kata Siti Normalah Kama, 30, adik kepada Jiprin Kama, 37.

Normalah berkata, sejak abangnya keluar rumah di Kampung Sinasak Batu, Pitas, berhijrah ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan, tiada sebarang khabar berita.

“Bapa saya tidak membenarkannya mencari pekerjaan di Semenanjung, namun dia tetap pergi. Sejak daripada itu, tiada sebarang khabar berita mengenainya (abang).

“Saya cuba menghubungi tempat kerjanya berdasarkan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dihantar ke rumah di kampung. Namun majikannya memberitahu abang saya sudah berhenti kerja dua tahun yang lalu.

“Apa yang kami risau, tahun lalu rakan kakak saya ada memberitahu melihat abang saya berjalan-jalan dalam keadaan tidak terurus di Kuala Lumpur.

“Berdasarkan maklumat itu, dua lagi abang saya kemudian cuba menjejaknya namun gagal,” katanya ketika ditemui di Pejabat NSTP cawangan Sabah, hari ini.

  Normalah berharap abangnya dapat ditemui segera disebabkan bapa mereka yang sudah berusia 80 tahun kini sakit kerana terlalu merinduinya.

“Orang ramai yang mengenali atau melihat Jiprin diminta menghubungi saya di talian 012-8689022 atau Noor Aisha Kama, 30, di talian 016-8157515,” katanya. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *